Headlines sholawat :
Home » » RINAI HUJAN TIDAK MEMBASAH

RINAI HUJAN TIDAK MEMBASAH

Written By M.Ridwan Pratama on Selasa, 01 Oktober 2013 | 05.45

Tugas Adni selesai setelah kereta Solahuddin meluncur dari pintu pagar dan membelok di hujung jalan lalu lenyap. Pukul tujuh pagi. Adni menutup pagar, melangkah ke teras, masuk ke rumah, dan naik ke biliknya di tingkat atas. Dari kamar itu, melalui kaca gelap yang lebar Adni menatap ke jalan. Jalan blok perumahan yang pendek. Jalan di mana setiap pagi Adni melepas Solahuddin sambil menunduk-nunduk langkahnya takut tersilap bertatapan dengan orang lain selain Solahuddin. Jalan di mana setiap pagi Adni merasa seluruh dunia memperhatikannya dan ia merasa tubuhnya menciut, mengecil seperti siput.

 Masih ramai orang melintasi di jalan itu. Lelaki berseragam coklat, mungkin pegawai keselamatan di jabatan kerajaan. Perempuan berpakaian serba biru dengan blazer, mungkin pekerja bank. Gadis berpakaian blause ringkas dengan jeans dan bertudung mungkin siswi-siswi IPTA. Mereka mendekap buku entah apa dengan belakangnya, disandang beg yang bergerak turun-naik sesuai irama langkah mereka yang di mata Adni nampak begitu gembira. Ada pelajar sekolah menengah berbaju kurung dan bertudung putih bersama beg sandang yang kelihatan berat. Agak lama mata Adni terpaku pada mereka itu. Sampai tak terasa jalan tiba-tiba lengang, dan waktu menunjuk hampir pukul 08.30 pagi.

 Adni kemudian akan menghempaskan tubuh ke katil beralaskan tilam empuk bersaiz king. Di matanya akan tak putus bayangan pelajar sekolah itu. Mungkin sekarang mereka sedang tekun mengadap papan hitam. Mungkin juga guru tak masuk sehingga mereka berhamburan ke kantin atau ke tandas, menghisap rokok. Mungkin ada yang menafaatkan ruang kosang itu dengan mengerjakan tugas berkumpulan. Akan tetapi, tentu lebih banyak dari mereka yang entah bergossipkan apa, lalu terkekek-kekek menahan tawa.

 Tiga tahun yang lalu, Adni sebahagian dari mereka. Sebelum, tiba-tiba dia menjadi isteri Solahuddin. Senyumnya lenyap bila mengenang semua itu sudah berlalu. Kini semuanya cumalah kenangan yang sering mengapung benaknya.

Adni masih ingat bagaimana abah dan emaknya, dulu - tiga tahun yang lalu. Mereka ingin mengatakan sesuatu yang khusus kepada Adni. Waktu itu mereka selesai makan malam, dan abah menyuruh adik-adiknya keluar ke ruang tengah. Ina, Adil, dan Epi masuk ke ruang tengah menonton tv yang sudah dimamah tua itu.

 Mulanya emak bercerita tentang kesulitan-kesulitan abah. Hal yang berkaitan dengan keperluan keluarga. Penyakit buah pinggang emak yang semakin getir jika tidak dicuci selalu dan sudah tentunya memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Lalu cerita beralih ke tempat kerja abah, sebuah kedai yang menjual besi, logam dan berbagai bahan binaan. Adni menduga emak akan bercerita tentang kepayahan atau kesulitan pekerjaan yang ditangani abah dan abah mungkin bakal berhenti atau pindah ke tempat kerja lain. Tetapi ketika cerita diteruskan abah, ternyata abah lebih banyak bercerita tentang kedai itu, kemajuan dan keuntungan yang diperolehi oleh kedai tersebut.

Kerana pembicaraan abah tidak seperti yang Adni bayangkan, dia hairan dan ingin bertanya kerana sama sekali dia tidak memahami pokok persoalan, sejak dari emak bermukadimah sehingga dengan cerita abah. Tetapi cerita yang berputar kemajuan dan kehebatan kedai besar itu tiba-tiba beralih kepada pemiliknya. Dan abah pun bercerita tentang sebuah keluarga. Keluarga terhormat. Kaya, dan sudah sejak lama memiliki perusahaan eksport kayu-kayan, turun-temurun. Seluruh anggota keluarga itu adalah orang-orang yang maju jaya dalam perniagaan. Termasuk si pemilik kedai tempat abah berkerja. Dan ketika kembali bercerita perihal majikannya itu, abah menutup ceritanya dengan;

 “Tapi sayang, walaupun sudah hampir empat puluh tahun usianya, dia belum bernikah.”

Waktu itu, mendadak dada Adni berdebar. Dan kiranya, memang..., seperti apa yang didebari pada dadanya, tiba-tiba abah dan emak kemudiannya minta agar Adni bernikah. Bernikah dengan majikan abah yang berusia empat puluhan itu. Encik Solahudin, begitulah orang-orang biasa menyebut si pemilik bangunan kedai besar itu. Kata abah, telah berkali-kali Encik Solahudin mengutarakan maksudnya ingin memperisteri Adni.

 “Tetapi kami...,” lanjut abah, “... tentu tak boleh segera menjawab. Dan setelah mempertimbangkan seluhurnya, akhirnya, kami putuskan ... sebaiknya kita terima.”


Adni  merasa seolah dunia dilanda gempa.  Dia tiba-tiba jadi pening dan kepalanya menjadi berat serta dadanya berombak kencang menahan sebak.  Lalu dia terus berlari mengunci pintu ke bilik.  Bernikah?  Tingkatan 5, di usia 17 ini?  Dengan si tua empat puluh tahun Solahuddin?  Apakah abah tidak memikirkan perbedaan umurnya dan Solahuddin?  Persekolahannya?  Dan yang paling penting perasaannya?  Bukankah sebuah perkahwinan menuntut sekujur perasaan?


Adni tidak pasti apa yang terjadi sungguh-sungguh nyata.  Dia sedaya upaya menolaknya dengan beralasan masih ingin bersekolah dan tetap ingin menduduki SPM.  Tetapi emak memujuknya, dia belum tentu dapat meneruskan persekolahan kerana sebahagian peruntukan wang gaji abah adalah membiayai kos pengubatan sakit buah pinggang emak yang setiap selang tiga hari harus di cuci. Dan selama itu juga Encik Solahuddin membantu biayainya.  Oleh kerana itu juga abah terhutang budi dan tersangat malu untuk menolak permohonan Encik Solahuddin memperisterikan Adni.  Adni meraung menekup mukanya ke bantal dan emak mengusap rambutnya seraya berkata;

“Kamu akan bahagia Adni, percayalah. Hidup ini bukan hanya berlandaskan cinta semata tapi hidup sangat perlu kepada wang ringgit. Dewasa nanti kamu akan faham kenapa kami lakukan ini untuk kamu, nak. Kerana inilah kebutuhan hidup. Kamu akan dilimpahi kemewahan kelak dan tentu kami tidak ingin kamu seperti kami. Emak dan abah ingin melihat kamu bahagia nak.”

Adni mengharapkan semua ini cumalah mimpi.  Namun semua itu memang bukan mimpi.  Dan hari-hari kemudian adalah hari-hari yang mendebarkan.  Sehingga tiba saat hari dia diijabkabulkan. Tangisnya sudah tidak bererti lagi.

Apalagi ketika tiba malam pertama itu. Adni benar-benar panik.  Tidak tahu.  Tidak ingin, dan terasa ingin berteriak semahunya.  Tetapi ternyata suaminya Solahuddin  hanya menatap dirinya sekilas dan kemudian tidur membelakangi Adni.  Seolah-olah Adni adalah jembalang berwajah puaka.  Saat itu, sungguh;   Adni sangat lega.  Tetapi mungkin malam besok, fikirnya dalam ketakutan.

Namun, malam esoknya dan juga malam berikutnya, Adni masih juga dibelakangi.  Dia bersyukur.  Namun debarannya kian bermula, mungkin di rumah baru, duga Adni.  Tetapi ketika seminggu kemudian mereka pindah ke Taman Mahligai, medan perumahan mewah yang berpusat di celah bandar, di rumah Solahuddin.  Apa yang ditakutkan Adni ternyata juga tak terjadi.  Malam pertama di rumah itu suaminya Solahuddin keluar lewat senja dan pulang pada dinihari.  Pulangnya pula dengan seorang lelaki.  Setelah beberapa ketika mereka berbual, Adni fikir lelaki itu akan pergi.  Tetapi ternyata tidak.   Adni dibiarkan suaminya tidur sendiri.  Dan suaminya, tidur di bilik bawah dengan lelaki asing itu.

Ketakutan yang lain segera menyergap Adni.  Sepanjang malam.  Sepanjang malam?  Tidak.  Sepanjang tahun.

Selepas pukul lapan pagi sehingga nanti orang-orang mulai kembali pulang ke taman perumahan itu sekitar pukul enam petang, memang waktu yang lengang.  Tidak ada yang dapat dia lakukan.  Hampir seluruh pekerjaan di rumah ini dilakukan oleh Mak Inah.  Wanita usianya sekitar lima puluh tahun.  Adni tidak pasti sejak bila perempuan separuh usia itu menjadi orang ‘kepercayaan’ suaminya Solahuddin.  Tetapi pastilah sudah sangat lama.  Kerana, dari cara dia melayani apa pun keperluan Solahuddin, jelas sekali bahawa perempuan itu sangat faham.  Jauh lebih mengerti dan tahu daripada Adni sendiri.  Mak Inah kurang berbicara dan mengelak dari berbual kosong dengan Adni.  Habis tugasannya sekitar pukul empat petang,  Mak Inah akan pulang. Adni tidak tahu di mana rumah Mak Inah kerana dia tidak pernah diberitahu.  Sekitar pukul tujuh pagi Mak Inah sudah pun menjongolkan diri di pintu belakang rumah ini.


Satu-satunya hal tak penting yang dapat dilakukan Adni setelah pukul lapan, hanyalah membuang sampah.  Sampah dari biliknya sendiri ke tong sampah besar sebelum lori sampah muncul mengambil sampah sekitar pukul sembilan pagi.  Itu pun tidak dapat setiap hari dia lakukan.  Bukan hanya kerana memang tidak  ada sampah.  Tetapi kerana sejak tiga atau empat minggu kebelakangan ini, setiap kali Adni membuka pintu dan muncul di laman, dia merasa ada sepasang mata - dari rumah depan seberang jalan, selalu memperhatikannya. Walau hampir tidak pernah berbicara atau berkomunikasi dengan siapa pun jiran tetangganya yang sememangnya dipisahkan oleh pagar tembok batu tinggi melebihi kepalanya itu, Adni tahu bahawa sekitar dua bulan lalu rumah berhadapan rumahnya ini didiami oleh penghuni baru. Bukan sebuah keluarga.  Tetapi hanya seorang lelaki.  Lelaki aneh, fikir Adni setelah beberapa minggu sedar bahawa lelaki itu lebih banyak tetap tinggal di dalam rumah.  Tidak pernah Adni mendapati lelaki di sini, lelaki dewasa di kediaman sini tetap diam di rumah.  Mereka akan bergegas ke luar rumah sebelum pukul lapan.  Jadi Adni berfikir lelaki yang mendiami rumah yang berhadapan dengan rumahnya ini adalah seorang yang aneh.  Apakah pekerjaannya? Bertanya ia sendirian.

 Adni tentu tidak bertanya-tanya atau tidak begitu peduli kepada lelaki itu jika si lelaki tidak didapatinya sering memperhatikannya.  Di balik nakoh, tirai tersibak, dan lelaki itu lenyap tiba-tiba seperti malu bahawa Adni tahu dia diintip.  Dan seperti laki-laki itu, Adni turut bergegas masuk ke rumah dan menutup pintu cepat-cepat.  Seharian itu, beberapa kali terbayang di kepala Adni peristiwa itu.  Juga terbayang olehnya beberapa sangkaan.  Sangkaan buruk.  Mungkin lelaki yang sering mengintainya dari balik tirai itu adalah seorang penjahat.  Iya, siapa tau?  Sedangkah dia sendiri kurang mengenali tetangga sehingga Mak Inah pun dia kurang mengenali secara pribadi.  Kerana Mak Inah sendiri kurang ingin beramah tamah dengannya malah sering bermasam muka.

Walau nampak seperti tidak ada umpatan, Adni percaya seluruh penghuni taman perumahan ini sebenarnya tahu bagaimana sesungguhnya jenis perkahwinannya dengan Solahuddin.  Kecuali orang tuanya di kampung.  Pernah suatu ketika Adni cuba memberitahu abah kelakuan sebenar Solahuddin namun terbantut bila abah mengingatkan dia supaya menjadi isteri yang taat kepada suami.

"Solahuddin, namanya itu terlalu mulia.  Orang yang menjaga agamanya, sungguh menetapi orang dan namanya,’’    abah berkata sambil jejarinya menghitung wang kiriman suaminya berjumlah dua ribu ringgit.  Abah menyambung,    "Kau sungguh bertuah Ad menjadi isterinya Solahuddin dan tidak sia-sia abah menyuruh kau mengahwini Solahuddin.’’

Adni membatu.  Kegirangan di wajah ayahnya sewaktu mengepal kemas wang dua ribu ringgit itu tidak sampai hati Adni mematahkannya.  Nun di hujung dinding empat kampit beras, dua kampik gula, lima botol minyak masak, beberapa botol sos dan kicap juga dikirimkan Solahuddin untuk keluarganya.  Semua itu cukup untuk di makan beberapa bulan tanpa perlu abah berbelanja.  Bahkan Solahuddin turut mengirim lima helai kain batik jawa yang dibelinya di Bandung dan dua pasang kain pasang untuk emak dan adiknya Ina.  Untuk Adil, Epi dan abah, Solahuddin kirimkan sehelai t-shirt dan kemeja berjenama Crocodile.  Senyum adik-adiknya, abah dan emak begitu panjang sehingga membuat mulut Adni tertutup untuk berkata apa-apa yang tidak benar tentang Solahuddin. 


Dua hari kemudian Solahuddin datang mengambilnya,  dan dibawanya lagi buah tangan. Epal, anggur, limau yang berkualiti, coklat dan biskut mahal yang tentunya sebelum ini adik-adik, emak dan abah sukar mengecapinya di mana-mana pun.  Kegirangan keluarga Adni terhadap pemurahnya Solahuddin terus menerus menutupi mulut Adni dari bersuara.

Dan, saat yang membuat jiwa Adni meledak, kala tiba di tangga rumah dan terlihat saja Adni Solahuddin meluru memeluk dan mengucupi dahinya seperti suami yang kerinduan ditinggalkan isteri.  Adni dapat melihat dari ekor matanya bagaimana abah dan emak saling berpandangan mengorak senyum, seperti percaya lakonan itu sebenarnya kenyataan yang Adni dan Solahuddin adalah pasangan yang sangat bahagia.

Bagaimana cara pun Mak Inah menutupinya, Adni tetap tahu.  Lelaki-lelaki dewasa yang sering lepak di restoran mamak sampai jauh malam di simpang jalan itu tentu sering melihat dan merasa aneh kerana Solahuddin sering ‘memuat’ lelaki muda entah siapa dalam keretanya dan kembali keluar pada dinihari menghantarkan lelaki itu entah ke mana.  Bahkan mereka, lelaki-lelaki dewasa itu,  atau siapa pun di luar pernah dilihatnya mengendap-ngendap masuk ke halaman dan mendengar pula rintih dan erang Solahuddin bersama lelaki muda entah siapa itu, yang oleh Adni sering terdengar begitu jelas sampai ke biliknya. Tetapi, kenapa tidak ada yang mempersoalkan?  Kenapa tidak ada di antara orang-orang itu, atau ketua taman perumahan di sini, atau jawatan kuasa taman tidak menangkap Solahuddin?  Kerana kegiatan ini terlalu lama dan terang-terangan.  Kenapa harus semua orang membisu enggan mencegah kemungkaran tersebut?  Adni sungguh merasa perih dengan kelakuan suaminya, sepertimana perihnya dia menahan diri dengan perkahwinan yang tidak pernah diredhainya ini.  Tidak kurang dengan ancaman Solahuddin terhadap Adni jika cuba membocor perilaku sebenarnya.


“Kau sangat berdosa,”   kata Adni suatu malam kepada Solahuddin setelah dilihatnya dua lelaki muda kacak keluar dari rumahnya dengan bersiul kecil.


Solahuddin tertawa sambil menutup slinding, menguncinya dan menutup tirai, dia memandang Adni sinis.    “Oh, Adni manis… semua yang bernama manusia itu berdosa, sayang. Beritahu aku manusia mana tidak ditimpa dosa? Kau..? Hahahahahaaaaaa….”    Ledakan tawa Solahuddin menyeringai seperti draculla kelaparan. Tanpa pedulikan Adni Solahuddin masuk ke biliknya menutup dan terdengar tombol kuncinya ditekan.

Sungguh Adni tidak mengerti. Kenapa semua orang memekakkan telinga dan membutakan mata.  Adni terfikir mungkin disebabkan wang. Suaminya Solahuddin seorang dermawan.  Apa pun bentuk kegiatan sosial atau keagamaan di sini, Solahuddin adalah penyumbang terbesar dan utama.  Bukan setakat dermawan tetapi Solahuddin juga seorang yang ramah.  Sering bertegur sapa dengan penghuni taman perumahan dari kelas menengah, sederhana dan bawahan.  Jadi siapakah mahu percaya lelaki ini seorang yang ‘serong’?

Kisah jiran baru dan Adni pun bermula. Hasil percakapan-percakapan ringan di pertemuan pembuangan sampah, cepat sekali Adni dan lelaki aneh itu akrab.  Akan tetapi, rupanya, Mak Inah sering mengintip kelakuan Adni berceloteh bersama jiran baru itu.  Lalu menegur prilaku Adni yang dirasakan tidak wajar selaku isteri orang.  Namun Adni cuba membetulkan sangkaan Mak Inah yang mereka cumalah beramah tamah selaku jiran sahaja.  Dan kata Adni, dia kesunyian tanpa teman bicara.  Dan dikatakannya kepada Mak Inah lagi,  perbualan itu bukan berlaku di tempat sunyi, malah masih terjaga tatatusila.



“Kamu sangat tidak patut Ad.’’

“Cuma borak biasa saja Mak Inah, kami kan jiran.”

“Tapi kamu isteri orang, apa kata suamimu nanti?”


“Kalau Mak Inah tidak menghebahkannya mana Solahuddin tau. Lagi pula apa Solahuddin kisah pasal saya? Mak Inah pun tau bukan, saya ini isteri yang tidak dipedulikan?”


Tetapi akibatnya,  beberapa hari kemudian, Solahuddin sendiri yang memarahi Adni.   Solahuddin mengancam;  akan mengunci Adni di biliknya dan tidak akan berpeluang Adni keluar dari rumah lagi.  Ketakutan Adni dibuatnya.  Tidak berani dia menjawab seperti dia berkata-kata kepada Mak Inah.  Di dalam hatinya mengutuk Mak Inah.  Salah tingkah suaminya dipejamkan mata, kesalahan kecil Adni diperbesarkan pula.

Beberapa hari Adni tidak keluar.  Namun, pada hari ke tujuh, Adni tidak dapat bertahan lagi.  Berteman, apa salahnya berteman?  Dan sampai bila dia harus terkurung tanpa bercakap dengan sesiapa?  Dan lagi, keberanian yang dikatakan Wafi mungkin tidak akan datang kalau tidak dipupuk.  Lalu Adni nekad.  Dia harus kembali menemui Wafi, bercakap-cakap dengan Wafi adalah satu keberanian dan dorongan padanya. Dia harus meraih keberanian yang dikatakan Wafi.

Maka, keakraban mereka pun kembali seperti biasa.  Dan tanpa waktu tertentu yang selalunya seperti sebelum ini.  Kadangkala pertemuan itu di antara pagar sekitar pukul sembilan pagi.  Kadangkala pada petang hari saat Adni bersantai minum petang di bangku laman.  Atau ketika Wafi  muncul meregang tubuh di terasnya.

Namun, bagaimanapun ia bukan sekadar itu saja.  Sudah tentu perkenalan itu bukan sekadar perbualan antara seorang di dalam pagar dan seorang di luar pagar saja.  Ada jemputan berkunjungan di laman rumah, bersantai minum bersama.  Lagi pun Adni berfikir Mak Inah ada, dan tidak ada apa harus ditakutkan.  Bukan berdua-duaan di dalam rumah atau di tempat sunyi.  Mereka boleh saja melihat orang atau kenderaan lalu lalang dari laman yang terbuka ini.

Peluang ini diambil Wafi melukis potret Adni.  Adni mengenakan gaun biru berbunga kuning campur merah dan di kepalanya terlilit shawl chiffon buatan Itali.  Adni duduk sopan bergaya di atas hamparan hijau rumput segar laman itu.


Dan di petang yang hening itu, saat mentari kian condong ke ufuk barat, semilir berhembus lembut membelai suasana, sebuah kejadian yang tak diingini berlaku.  Entah memang kebetulan, atau entah memang telah lama direncanakan Solahuddin;  Wafi berkunjung tepat ketika Mak Inah atau siapa pun tidak di rumah.


Tiba-tiba petang itu menjadi sangat menyesakkan. Ramai sekali orang datang, entah dari mana. Marah-marah dan semua nampaknya meradang. Yang datang termasuk juga katanya ahli Jawatan Kuasa Taman  -  yang sebelum ini Adni tidak pernah mengenalinya. Termasuk pemuda-pemuda yang tidak pernah dilihat Adni. Semua mereka menarik Wafi dan hampir saja ditumbuknya Wafi namun ditahan oleh Solahuddin. Dengan penuh hemah dan berwibawa, sungguh kelihatan sabar sangat jiwa Solahuddin. Solahuddin cuma berharap Wafi keluar dari hidup Adni dan jangan ganggu rumahtangganya.

Namun orang-orang berteriak dengan benci ke arah Wafi.  Lukisan itu dicarik-carik dan dipijak lunyai berserakan dan diterbang angin petang, menyepahkan laman rumput yang bersih itu.

“Keluar!”

“Tak tahu malu!”

“Pengganggu isteri orang!”


  *****

Seperti tiga bulan lalu, Adni berdiri menatap ke jalan dari balik kaca gelap itu.  Di seberang, rumah sederhana itu kini kosong. Tidak ada lagi Wafi.  Mereka mengusirnya.  Di bawah sana, di mata Adni, bagai kembali terbayang lelaki itu ditolak keluar dari pintu pagar sambil dicaci maki. Ternampak lagi olehnya bagaimana Wafi meronta berserta teriakannya;


“Tidak adil! Tidak adil! Mana yang lebih penting?  Perkahwinan kosong itu? Atau nasib seorang perempuan di dalamnya?”

Namun tiada siapa mengendahkan kata-kata tersebut.

“Kenapa tiada siapa ingin menangkap lelaki seorang itu?”    Telunjuk Wafi ke arah Solahuddin.  Namun tiada siapa pedulikan semua itu.


Adni menangis. Menangis, entah untuk kali keberapa. Di balik cermin kaca gelap biliknya hujan mencurah halus, cukup  membasahi rerumputan yang tandus di laman.  Namun jiwa Adni kering.  Suaminya yang kaya raya, punyai rumah besar dan mewah, intan berlian yang membaluti tubuhnya tidak pernah memberi apa-apa pengertian dalam hidupnya.  Dia cumalah perempuan sepi yang menghabiskan waktu dengan menonton sinetron di kaca tv dan mendengar lagu di radio.

Kini yang terlihat di laman setiap kali tirai tersibak adalah sekujur tubuh Wafi sedang melukis dan berbicara dengannya.

“Lelaki yang suka mengasari wanita adalah lelaki yang dayus, Ad,”    jelas Wafi saat Adni mengatakan Wafi lelaki yang sangat baik terhadap perempuan. Baik kepadanya. Mengerti perasaannya. Adni tertegun.  Dia sangat terasa dirinya terangkat darjat pada satu tahap teratas.


“Sebenarnya wanita memiliki kekuatan yang luar biasa.”

“Hah..?”


“ Wanita tercipta dari tulang rusuk lelaki.  Dan tulang rusuk itu melindungi sebuah organ yang bernama hati.  Dapat meredam kemarahan dan kegelisahan seorang lelaki.”    Wafi menatap kepingaan di wajah Adni lalu melanjutkan bicaranya;     “Seorang wanita diciptakan bukan untuk melebihi seorang lelaki ataupun diperbodohkan lelaki. Tapi, seorang wanita diciptakan agar sejajar dengan lelaki. Selalu berada di samping lelaki, mendampingi dalam keadaan apa pun.”


Adni terpesona.  Hatinya lapang dan tiba-tiba terasa kuat.


“Kamu tahu Ad, kenapa wanita dijadikan dari rusuk lelaki?”

Adni mengeleng. 

“Supaya wanita hampir dengan lelaki, berada di sisinya. Dekat dengan lengan lelaki untuk dilindungi dekat di hati lelaki untuk disayangi.”


Adni tersenyum.

“Wanita tidak dijadikan dari tapak kaki lelaki untuk dipijak-pijak.”


Adni terasa dirinya diangkat setinggi-tingginya bila mendengar bicara Wafi.  Dirinya bukan seorang sahaya yang hanya diperlukan anggukan dan tunduk kepada lelaki. Namun kini tiada lagi kata-kata semangat untuknya.  Yang tinggal sekujur bayangan Wafi dari teras rumah di hadapan jalan itu yang kini sepi  tidak berpenghuni.


Suatu malam,  Adni terjaga.  Kecoh di tengah rumah.  Kedengaran suara lelaki bergaduh.  Adni bangkit dan mengintai dari balik tirai pemisah antara ruang tamu;  dia melihat tiga lelaki dan salah seorang di antara mereka adalah Solahuddin.  Berdiri di sebelah Solahuddin seorang lelaki muda berkulit cerah, keningnya bercukur sedang meletak tangannya ke muka, menangis.  Potongan rambutnya seperti mendiang Lady Diana. Gaya seorang wanita namun sekujur tubuhnya adalah lelaki.  Seorang lagi lelaki muda berkulit kemerahan sepertinya berketurunan dari timur tengah duduk bersahaja di sofa tepi pintu, menyedut rokok.  Adni kira itu cuma pergaduhan biasa.  Cemburu.  Ah, dia sudah biasa dengan semua ‘kesongsangan’ hidup lelaki-lelaki yang sering datang ke rumah ini.  Dia ingin kembali menyambung lena tidurnya yang terganggu.  Tapi kakinya jadi tertahan.


“Balik..!”   Suara Solahuddin bergema nyaring.

“Kenapa…..”   soal lelaki kening bercukur.  Suara itu manja tapi parau.

“Aku tak perlukan kau,”   lembut kembali suara Solahuddin.


“You tak patut buat I macam ni, Sol. I masih setia dengan you,”  balas lelaki berkulit cerah kening bercukur itu.  Dan esakannya kedengaran sangat buruk. Geli di telinga Adni.

“Aku kata balik, aku dah tak perlukan kau lagi. Fahaaammmm?!!”   Kuat teriakan Solahuddin membuatkan gema dalam rumah seperti dentuman halilintar.  Adni tersentak.  Drama apakah ini?

“I tak rela you buat I macam ni. I ni kekasih you. Setia dengan you dari dulu lagi. Mana janji-janji you, hah..? Ini… ini..  kekasih baru you ya? I tak rela melihat semua ini. You kejaaaammmm……”


Tangisan lelaki berkulit cerah kening bercukur itu sungguh kuat dan tersangat buruk dengan hentakan kakinya melepaskan amarah.  Dan, seperti sebuah mimpi Adni menyaksikan lelaki berkulit cerah, bercukur kening itu mengeluarkan sesuatu dari bajunya, begitu mendadak membenam sesuatu ke perut Solahuddin,  dicabutnya kembali, dirodoknya lagi ke perut Solahuddin.  Dan kali ketiga pisau yang berlumuran dengan darah Solahuddin itu dibenamkan ke perutnya sendiri sambil dia merintih;

“Biar kita mati berdua. I tidak sanggup ditinggal… aarrrgghhh…….”

Solahuddin jatuh tersondor ke dinding memegang perut mengaduh kesakitan.  Matanya memandang kearah lelaki berkulit kemerahan yang seperti warga bumi timur tengah itu, mengharapkan bantuan.  Namun lelaki itu terlihat ketakutan, meluru ke arah pintu cuba melarikan diri. Namun sesuatu yang sangat tidak terduga tiba-tiba;


“Polis…!”    beberapa orang anggota polis muncul menangkap lelaki itu saat pintu rumah dibuka, lalu menggarinya.  Dan dari balik tirai Adni keluar, badannya menggeletar. Dia memandang hairan ke arah salah seorang anggota polis tersebut seperti sangat dikenalinya.  Tersenyum lelaki itu memandang Adni yang raut wajahnya nyata ketakutan dan bungkam.


“Kami terpaksa geledah rumah ini,”  kata anggota polis muda itu dan memberi isyarat anggukan kepada anggota polis lain. Hampir sepuluh orang bergerak memasuki bahagian rumah yang lain. Sebahagiannya pula masuk ke dalam bilik Solahuddin.

Adni tidak berkata-kata malah memandang polis yang memberi isyarat tadi. Seperti mengerti gerak mata Adni, polis muda itu menjelaskan;   “Solahuddin ditahan atas tuduhan memperdagangkan pelacur lelaki."   Kerana Adni terus diam, dia menambah bicara;    “Salah seorang yang memberi maklumat adalah lelaki itu,”   tunjuknya kepada lelaki kening bercukur yang rebah di sisi sofa, ntah mati ntah hidup.


Namun tiada reaksi apa-apa pada Adni.  Dia cuma memandang polis itu dengan pandangan polos.

“Wa..fi…?!”  suara Adni tersekat, bergetar.

Wafi tersenyum mengangguk.

“Bukankah kamu pelukis?”

“Polis jawatan tetap saya,”   Wafi tersenyum memandang kehairanan Adni dan melanjutkan lagi,   “Potret awak ada di galeri lukisan. Kita ke sana nanti.”

“Kita?”

“Ya, kita. Setelah semua ini selesai.”

“Saya tak faham. Kenapa ……”

“Saya akan terangkan di balai nanti, awak ikut sama sebagai saksi. Oh, ya… Mak Inah turut ditahan.”

“Hah? Atas kesalahan apa?”

“Bersubahat. Tapi hukuman mungkin diringankan kerana dia turut berkerjasama begitu baik dengan polis.”

Adni mengikut Wafi dengan menaiki kereta peronda polis. Solahuddin dan lelaki kening bercukur dihantar ke hospital oleh ambulan yang diiringi trak polis.



                                                   ***


Semuanya sekelip mata.  Di hospital Adni melihat semua orang menangis;  emak, abah, mertua dan ipar duainya, tanpa dapat menyelami perasaan mereka.  Ntah kesedihan, simpati, kekesalan atau malu.  Adni tidak ada air mata lagi untuk dialiri buat Solahuddin. Dia cuma berdoa, Solahuddin sempat bertaubat sebelum ajalnya datang. Dia sudah pun memberitahu emak, abah dan mertuanya bahawa dia akan bercerai dengan Solahuddin. Semua menunduk dan diam yang kedengaran esak tangis emaknya dan ibu Solahuddin. Perempuan memang empati.

Adni tidak ingin lama di situ. Dia menyusup di celah-celah kemurungan orang mencari pintu keluar. Di kepalanya membayangkan janji bersama Wafi petang itu di galeri seni!

“Pameran lukisan diadakan di Pasar Seni selama dua minggu, saya turut mempersembahkan hasil karya saya,”  cerita Wafi sewaktu melangkah ke ruang galeri lukisan. Terpampang lukisan wajah Adni dalam rinai hujan namun tubuhnya tidak membasah.

"Sudah ada pembeli,"  bisik Wafi.

"Hah?"

"Tapi saya tidak akan menjualnya, hanya untuk dipamerkan."

“Bukankah lukisan itu sudah musnah?”

“Saya melukisnya semula. Bayangamu sering di hati saya. Saya melukisnya dengan jiwa.”


Adni terdiam.  Memandang ia lukisan itu. Calitan oil painting di atas kanvas ukuran 80 x 55cm.  Dirinya mendepa tangan mendongak hujan namun tidak membasah.  Adni tersenyum membaca judulnya; Rinai Hujan Tidak Membasah.



TAMAT.

Penulis. Bintang Kartika ( Kameelia). *****

















Share this article :

0 komentar:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. Gado-Gado Sholawat - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template